Kerajaan Malaysia melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merangkumi dua komponen utama

Kerajaan Malaysia melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merangkumi dua komponen utama

1) Program Rekalibrasi Pulang dan
2) Program Rekalibrasi Tenaga Kerja

yang akan dilaksanakan bermula 16 Nov 2020 hingga 30 Jun 2021 kepada pendatang tanpa izin yang ada di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula menjadikan PATI yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, katanya.

“Kita masih membeku kemasukan pekerja asing baharu ke Malaysia dan ia masih diteruskan.

“Pelan ini adalah untuk pendatang tanpa izin dalam negara dan jika mereka ingin bekerja secara sah boleh, dan kalau ingin pulang ke negara asal juga boleh. Kita beri tempoh sehingga 30 Jun,” katanya ketika melancarkan Pelan Rekalibrasi PATI itu di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Hamzah berkata Pelan Rekalibrasi PATI itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta agensi-agensi kerajaan yang lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Menerusi pelan itu Hamzah berkata kerajaan dijangka memperoleh kutipan hasil sebanyak RM95 juta daripada kompaun serta bayaran lain yang dikenakan terhadap pendatang tanpa izin dan majikan.

“Dalam landskap ekonomi yang tidak menentu akibat penularan pandemik COVID-19, kerajaan telah membuat timbang tara yang strategik terhadap pelan ini dengan menilai kesan positif serta kesan negatif pelaksanaannya,” katanya.

Pertimbangan turut diberikan dari aspek keperluan untuk mengumpulkan data taburan serta demografi PATI di Malaysia bagi tujuan penguatkuasaan yang menyeluruh seperti digariskan dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI yang diperkenalkan kerajaan sejak awal tahun ini.

“Pendataan PATI boleh diselaraskan melalui maklumat yang dikemukakan oleh PATI dan majikan semasa pendaftaran program ini,” katanya.

Hamzah memberi jaminan penawaran program tenaga kerja kepada PATI sedia ada di Malaysia tidak akan menggugat pasaran serta peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah terjamin tertakluk kepada dasar penetapan nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing yang berkuat kuasa ketika ini,” katanya menambah kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam semua sektor ekonomi.

Menjelas lanjut, Hamzah berkata empat sektor iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian dibenarkan mengambil pendatang tanpa izin untuk bekerja dalam tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI.

“Buat masa ini, hanya majikan yang beroperasi dalam empat sektor yang bersifat 3D iaitu dangerous, difficult dan dirty (kotor, bahaya dan sukar) dibenarkan untuk mengambil PATI sebagai pekerja,” katanya sambil menambah pelan itu hanya untuk PATI dari 15 negara sumber seperti Thailand, Kemboja, Nepal, Myanmar dan Bangladesh.

Hamzah berkata satu Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PTI telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia (KSM), JIM, JTKSM serta beberapa agensi berkaitan yang berperanan untuk memantau dan mengawal selia pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI.

Jawatankuasa Khas peringkat menteri itu turut membincangkan keperluan untuk meluaskan Pelan Rekalibrasi PATI kepada sektor-sektor lain kelak dan dasar berkaitan ekspatriat. Mesyuarat pertama jawatankuasa ini dijadualkan pada 3 Dis 2020, katanya. 

KDN dan KSM bersetuju untuk mengintegrasi dan berkongsi data bagi menguruskan hal ehwal pekerja asing termasuklah penyeragaman pembayaran gaji melalui satu system e-wages yang sama dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas peringkat menteri akan datang, katanya.

“Majikan wajar mengambil peluang pelaksanaan pelan ini untuk mendaftarkan PATI sedia ada di negara ini sebagai sumber tenaga kerja di semua sektor ekonomi yang terlibat,” kata Hamzah.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.